30-07-2006 11:43:47 PM
Zieman
Semuanya sudah dijangka dan bagaikan tiada kejutan apabila Lotter diserap masuk semula ke dalam akademi melalui AF Masuk pada konsert ke sembilan malam Sabtu. Lotter telah memberi variasi tersendiri ketika menyanyikan lagu Pria Terhebat dari kumpulan Sheila On 7. Persembahannya cukup menarik.
Cuma apa yang sedikit terkilan Rich yang jauh lebih berkesan persembahannnya dan begitu tinggi undiannya sehingga mencecah lebih 40% terpaksa akur dengan keputusan pengundi-pengundi SMS.
Ketulusan sebutir manik jernih yang mengalir membasahi pipi Rich pun tidak dapat menambat hati pengundi untuk memberinya peluang ke final. Mungkin pihak Astro ada perhitungan lain dengan membawa masuk Lotter dan bukannya Rich.
Sesuatu yang agak menyakitkan hati ketika konsert ke sembilan berlangsung adalah gangguan demi gangguan yang dilakukan oleh pihak produksi terhadap pengacara kesayangan ramai Aznil Nawawi. Mungkin ianya agak lucu sekiranya ia dilakukan sekali dua tetapi tidak apabila ianya berterusan seperti hilang profesionalisma.

Mungkin pihak Astro ada perhitungan lain dengan membawa masuk Lotter dan bukannya Rich?
Hilang konsentrasi dan mood penonton di rumah apabila Aznil terpaksa mengulangi dan memanggil nama-nama peserta AF Masuk tiga kali untuk berdiri bagi memberitahu peratusan markah mereka. Adakah ini satu gurauan atau sememangnya berlaku sedikit kegagalan berkomunikasi?
Difahamkan ini semua adalah sedikit situasi kelam-kabut di Dewan Sivik Petaling Jaya bertujuan untuk melengah-lengahkan masa untuk memberi ruang pada penonton dan pengkritik mengambil tempat. Mungkin juga ia dilakukan sementara menanti juri jemputan, Liza Hanim yang tiba lewat pada konsert itu.
Namun, bagi penonton di rumahnya ianya seperti kurang persediaan. Yang kesiannya, kelapan-lapan peserta yang kejap tercegat, kejap duduk dan kelihatan termanggu-manggu?
Kenapa Amirul mengalah?
Amirul mengangkat bendera putih sebelum berjuang dan memberi satu persembahan yang lesu dalam lagu Kurniaan Cinta yang pernah dipopularkan oleh Adifashla AF1. Barangkali lagu yang terlalu lembik dan kurang nilai komersial ini bagaikan melemahkan semangat Amirul.
Usia Amirul yang begitu muda membuat penyanyi cute ni tampak seperti dia sudah hilang daya saingnya. Apapun kritikan dan komen yang diberi bagaikan mencurah air di daun keladi kerana ianya sedikitpun tidak meninggalkan kesan. Sifat semulajadi Amirul yang manja, suka mengusik orang dan kuat tidur bagaikan satu ‘kesalahan.’ Semua ‘kelemahan’ ini tidak bererti yang dia tidak pentingkan pembelajarannya di Akademi tapi itulah cara tersendiri Amirul untuk belajar.
Sedikit kecewa dengan Amirul kerana suaranya langsung tidak bermaya dan tidak memberangsangkan seolah-olah dia sudah tahu yang dicari bukan Amirul tapi Lotter. Amirul bagaikan merestui abang dan kakaknya yang lain mendahuluinya.
Berlainan sekali dengan Rich, walaupun berada di kedudukan selesa, di tempat paling atas dan mendahului tujuh peserta lain, Rich tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik dan lagu yang disampaikan mengesankan ramai orang.
Sekurang-kurangnya peminat Rich akan rasa bangga dengan idola mereka.
Persembahan pelajar AF Masuk menghiburkan
Lotter telah membuat gaya tari yang menarik dalam Pria Terhebat. Walaupun suara sengaunya tetap ada tapi tariannya yang menghiburkan telah menutup kelemahan suara sengaunya. Diddy pula menunjukkan kesungguhan dalam lagu Diari Seorang Lelaki milik Pretty Ugly tetapi ternyata suara Diddy tidak sesuai untuk lagu tersebut. Salima pula berjaya membawa lagu Arab Noour El Chams dengan caranya tersendiri.
Pelajar dari Negeri Sembilan, Zila tampil paling anggun dan jelita sekali di dalam busana wanita Melayu siap dengan samping dan baju kurung coklat. Pesona Zila dan suara serak-serak basahnya cukup terserlah di dalam lagu Datin Rafeah Buang dan Siti Nurhaliza iaitu Bisikan Hati.
Rich mendapat lagu dari wish listnya, The Reason, yang semua orang tahu ditujukan kepada teman istimewanya Velvet. Lagu Karen, Jejaka Idaman terlalu simple dan bagai tidak memberi apa-apa kesan kepada Karen dan penonton. Nora pula seperti kehilangan fokus ketika menyanyikan lagu Dayangku Intan dalam Berpaut Di Dalam Cinta.
Aksi Nora yang pura-pura memetik gitar itu mungkin menepati kata-kata pengkritik Bob Lokman ‘persembahan munafik.’ Nampak sangat janggalnya seperti tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan dan perlakuan ini juga tidak dapat diterima oleh pengkritik-pengkritik Liza Hanim, Sharifah Shahirah dan Adlin Aman Ramlie.
Empat finalis jadi boneka
Walaupun malam konsert kesembilan itu tidak melibatkan empat finalis yang sudah sah mara ke peringkat akhir, namun Farhan, Faizal, Velvet dan Haziq turut membuat persembahan khas di penghujung konsert dengan mendendangkan empat buah lagu bonus yang pernah dinyanyikan oleh Hail Amir dan Uji Rashid.

Wardrobe dan kareografi mereka pada malam itu gagal menonjolkan bahawa mereka ini adalah empat finalis yang bakal merebut gelaran juara AF4
Empat buah lagu tersebut adalah Hujan, Tanda Kasih, Hendak Ku Tanya Terasa Malu dan Berilah Kasih Sayang.
Tetapi, cukup malang sekali apabila persembahan 'khas' itu akhirnya menjadi bahan gelakan oleh kebanyakan penonton yang hadir. Wardrobe dan kareografi mereka pada malam itu memang gagal menonjolkan bahawa mereka itu adalah empat finalis yang bakal merebut gelaran juara AF4.
Mungkin pakaian mereka ditentukan untuk memenuhi konsep di era 70an, namun pakaian Farhan yang nampak seperti Minnie Mouse dan Velvet pula berbaju biru dengan but kuning air memang tidak boleh diterima akal. Haziq dan Faizal pula jelas kelihatan tidak selesa dengan pakaian mereka.
Sepanjang persembahan empat finalis itu juga tidak henti-henti penonton di dalam dewan tertawa dengan aksi mereka, terutamanya terhadap Faizal. Gerak tari yang dipamerkan oleh mereka sebenarnya nampak 'seksa' di mata penonton.
Lihat saja aksi Faizal yang memang tidak tahu menari langsung! Bagi keempat-empat peserta ini, mungkin mereka merasakan gelak tawa penonton itu adalah atas dasar terhibur, tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya nampak seperti boneka di atas pentas.
Penampilan istimewa 'kucing 70an'
Keempat-empat finalis tersebut turut menerima 'kejutan' apabila seekor kucing tanpa disedari berlari di atas pentas ketika mereka sedang membuat persembahan lagu-lagu 70an itu.
'Penampilan khas' kucing itu mungkin tidak disedari oleh penonton di rumah, tetapi amat memeranjatkan semua yang berada di dalam dewan itu.
Ingatkan, memang ia adalah satu kejutan yang sengaja dilakukan untuk persembahan itu, tetapi bila melihat team produksi Astro kelam-kabut mengejar kucing itu di dalam dewan, memang sahlah itu semua berlaku tanpa dirancang.
Persoalannya, bagaimana kucing tersebut boleh terlepas pandang oleh krew-krew terlibat?
Juara AF4
Ini minggu terakhir Akademi Fantasia dan misi pencarian juara AF4 masih diteruskan. Ramai menjangkakan persaingan hebat akan berlaku di antara Faizal dan Farhan untuk merebut gelaran Juara AF4. Tiga nama yang lain seperti Haziq, Velvet dan Lotter sekadar penyeri konsert final saja.
Sejauh mana kebenaran ini dapat disaksikan dengan memerhati undian SMS setakat ini.
Anda boleh menghantar undian kepada bakal juara anda dengan menaip AFLUNDI‹jarak›NAMA PELAJAR dan dihantar ke 32999.
Konsert final AF yang dibarisi oleh lima finalis secara langsung pada hari Sabtu, 5 Ogos jam 8.30 malam. menerusi Astro Ria. Manakala program Imbasan Akhir Akademi Fantasia akan disiarkan pada hari Ahad, 6 Ogos jam 12.30 tengah hari juga di Astro RIA.
Peminat-peminat Akademi Fantasia yang ingin menyaksikan konsert final AF4 boleh membeli tiket-tiket dengan harga RM20, RM30 dan RM50.
Segala maklumat berkenaan tiket Konsert Akhir Akadenzi Fantasia boleh didapati di
http://www.axcess.com.my atau menghubungi Hotline 03-77115000.
Selesai sahaja musim AF4, Akademi Fantasia Eksklusif akan diadakan yang akan mengisi slot Diari Akademi Fantasia mulai 7 hingga 11 Ogos pukul 12 tengah hari dan 9 malam setiap hari.
source