|
Login |
|
|
 |
|
|
Who's Online 5 user(s) are online ( 1 user(s) are browsing News)
Anonymous: 0
Members: 0
Guests: 5
more...
|
|
|
 |
|
|
| Akademi Fantasia News : Magis sang juara bernama Mila |
| Posted by ice on 2007/5/21 5:12:29 (5399 reads) |
Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH
JARANG benar magis hadir untuk mencapai sebuah kejayaan besar. tetapi yang paling beruntung, gadis kelahiran Pulau Pinang yang bernama Norsyarmilla Jirin yang kini cukup popular dengan panggilan Mila.
Ketika Akademi Fantasia musim kelima (AF5) memulakan konsert minggu pertama pada 17 Mac lalu, barangkali nama Mila tidak pernah terlintas langsung di kalangan penonton untuk dinobatkan sebagai juara.
Ditambah pula dengan kemunculan seramai 16 pelajar pada musim ini, kelibat Mila yang genit itu agak terlindung di kalangan pelajar yang lain.
Apatah lagi pada konsert tersebut, Mila hampir tersingkir apabila dia dan Ebi menjadi dua pelajar yang mendapat undian SMS (khidmat pesanan ringkas) paling rendah selepas Diya diumumkan menjadi pelajar pertama meninggalkan AF5.
Namun gara-gara Zana menarik diri atas alasan tekanan perasaan dan automatik menjadi pelajar kedua tersingkir, perjuangan Mila terselamat untuk konsert mingguan kedua.
Lebih menariknya pula, sehingga konsert sembilan sebelum konsert akhir AF5, takhta tangga tercorot tetap menjadi milik Mila pada setiap pembukaan konsert.
Bagaimanapun, tidak dinafikan, Mila yang berusia 19 tahun itu mula mendapat perhatian ramai sejak konsert minggu keempat ketika menyampaikan lagu Benci Tapi Rindu (nyanyian asal Diana Nasution).
Sejak itu, Mila tidak menoleh ke belakang lagi dan gadis yang hanya mempunyai ketinggian 148 sentimeter ini ternyata memiliki bakat yang luar biasa.
Malam Sabtu lalu bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, perjalanan suka duka Mila di AF5 sampai kemuncaknya.
Disaksikan dengan jumlah penonton 6,000 di stadium dan hampir 3 juta orang di kaca TV, Mila membuktikan dia berada dalam standardnya yang tersendiri.
Berbekalkan suara yang lantang dan personaliti yang menarik, Mila memakbulkan impian ramai untuk melihat pelajar wanita pertama bergelar juara.
Akhirnya, Mila berjaya meletakkan dirinya sebaris tinggi dengan juara AF sebelum ini iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3) dan Faizal (AF4).
 PERSIS Mutiara... Lagu baru yang dinyanyikan oleh Mila seolah-olah ditujukan kepada dirinya
Apa pun, selamat datang buat Mila dalam industri seni muzik tempatan - begitulah antara pujian yang dilemparkan kepada juara baru ini.
Lebih hebat, sudah kedengaran kenyataan bahawa Mila bakal berentap dengan penyanyi wanita popular tanah air yang turut memiliki vokal lantang Jaclyn Victor.
Ini kerana tempiasnya pengetua AF5, Roslan Aziz merupakan antara individu yang berjaya melahirkan Jac sebagai juara pertama juga menerusi program realiti Malaysian Idol. Dan hari ini, nama Jac begitu gah di persada seni tanah air.
Namun awal-awal lagi Roslan tidak mahu Mila dibandingkan dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Gemilang itu. Malah kata Roslan, Mila juga bukanlah second Jaclyn Victor dalam industri seni tanah air.
“Jac adalah penyanyi yang baik. Tetapi bagi saya AF tetap program realiti terbaik tanah air dan lebih baik daripada Malaysian Idol. Cuma saya harap Mila dan Jac tidak terus dibandingkan selepas ini,” pohon Roslan kepada pihak media.
Mila pula hanya tersenyum lebar apabila ditanya kualiti vokalnya yang mampu ‘pukul’ penyanyi seniornya itu.
“Saya tidak pernah terfikir pun tentang perkara itu. Banyak lagi yang saya perlu belajar tentang teknik vokal saya,” jawab Mila yang kelihatan petah menjawab soalan pihak wartawan.
AF5 tetap nombor satu!
BUKAN obses tetapi inilah hakikatnya. AF5 adalah program TV realiti tempatan yang paling popular dan nombor satu di tanah air.
Jenama AF terlalu kuat dengan masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu. Mereka berduyun-duyun sanggup hadir menonton konsert mingguan AF5. Ada yang berkeluarga, berpasangan dan seorang diri.
Itulah realiti yang dapat dilihat menerusi sambutan para penonton sejak konsert minggu pertamanya hinggalah konsert akhirnya malam kelmarin.
Buktinya juga, sepanjang 10 konsert mingguannya berlangsung, AF5 menerima 6.6 juta undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada para penonton.
SMS yang mengenakan caj 50 sen setiap satu itu dihantar oleh para penonton bagi memilih juara di kalangan 16 pelajar AF5.
Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, jumlah SMS yang diterima tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Tahun lalu kami menerima 7 juta SMS sepanjang 10 minggu program ini dijalankan. Bagaimanapun setelah ditolak dengan AF Masuk sebanyak 1.2 juta, SMS yang kami terima hanya 5.8 juta.
“Namun untuk AF5, kami menerima 6.6 juta SMS termasuk konsert akhir malam ini sebanyak 1.9 juta daripada para penonton,” kata Zainir pada sidang media selepas konsert berakhir.
Jelas Zainir, Astro dan Maxis akan menghulurkan dana berjumlah RM300,000 dan RM50,00 daripada hasil kutipan SMS itu untuk tujuan pembangunan industri dan kerja-kerja amal.
Menjawab pertanyaan sama ada penganjuran AF akan diteruskan pada musim keenam tahun depan, Zainir enggan bermain teka-teki.
“Ya,” demikian jawapan Zainir setelah menilai pelbagai sudut perspektif program tersebut kepada Astro sendiri.
Apabila ditanya tentang masa perjalanan konsert yang terlalu lama disebabkan segmen khas perpisahan untuk pengacaranya, Aznil Nawawi, Zainir menjelaskan konsert akhir merupakan detik terbaik untuk menghargai jasa pengacara itu.
“Ia ibarat pemain bola sepak apabila dikeluarkan sebelum tempoh permainan berakhir sambil disaksikan oleh penonton yang ramai,” katanya sambil tersenyum.
Corat-Coret * Stadium penuh sesak walaupun pada waktu yang sama turut disiarkan siaran langsung perlawanan akhir FA Cup England antara Manchester United dan Chelsea di Astro. Malah di luar stadium, skrin layar besar disediakan bagi mereka yang tidak dapat masuk dan senarionya ibarat pesta wayang pacak.
* Sudah menjadi lumrah untuk menyaksikan perang poster di kalangan peminat fanatik sebagai tanda sokongan kepada pelajar kegemaran mereka. Namun terdapat satu poster yang mencuri perhatian berbunyi, ‘Pemuda/Putera UMNO Bayan Baru Menyokong Aswad’. Khabarnya juga lebih dua bas yang disewa khas dari Pulau Pinang datang memberi sokongan kepada Aswad.
* Kemenangan Mila semakin menepati ramalan apabila sorakan untuknya begitu bergemuruh di dalam dewan setiap kali nama pelajar disebut oleh Pengurus Pentas yang popular dengan panggilan Dollah Cantik.
* Dollah juga sering kali mengingatkan penonton tentang letupan bunga api yang bakal digunakan sepanjang konsert berlangsung. Hasilnya, letupan tersebut betul-betul membuatkan stadium bergegar dan ia ibarat berada di medan perang.
* Seperti biasa, anggota Rela bertungkus lumus mengawal keadaan bagi memastikan tidak ada penonton yang merakamkan konsert akhir melalui kamera video tangan atau telefon bimbit.
* Ketika waktu iklan, ramai penonton yang menyerbu ke bilik air disebabkan suhu stadium yang agak sejuk. Namun tidak ada acara selingan yang disediakan untuk penonton di stadium pada waktu itu.
* Menariknya persembahan Aswad menerusi lagu Mata Hati Jiwa sempat diiring gaya tangan Line Clearnya oleh pelajar-pelajar AF5 yang tersingkir dari bawah pentas.
* Konsert akhir yang berlanjutan sehingga pukul 1 pagi turut menyebabkan sidang akhbar tamat sekitar 2.30 pagi. Namun pihak jurugambar masih dengan tugas mereka untuk mengambil gambar pelajar-pelajar pula.
source
|
|
| Akademi Fantasia News : Debat Akhir AF5: Sesi belasah Aswad! |
| Posted by ice on 2007/5/19 3:37:46 (4757 reads) |
18-05-2007 11:15:36 AM oleh ZIEMAN Debat AF5 yang terakhir melabuhkan tirainya dengan meninggalkan sebuah kenangan yang tidak begitu manis. Corak dan arahtuju debat terakhir malam semalam berlangsung dalam keadaan yang tidak harmonis dan hujah yang bersifat peribadi.
Program yang sepatutnya menjadi tempat bertukar pendapat menjadi tempat melepaskan geram dan perasaan pula. Oleh kerana program ini berupa siaran langsung, maka tiada tapisan. Apa saja yang dirasakan oleh ahli panel terus disampaikan seolah-olah telah diberi mandat untuk berbuat demikian?
 Aswad dibelasah menerusi Debat AF (Fail Foto The Star)
Kenapa sampai begitu sekali perasaan benci yang meluap-luap terhadap seorang pelajar AF5 yang bernama Aswad? Sedangkan kalau tidak silap, topik yang dibicarakan seharusnya berkisar tentang "keberkesanan lampu biru."
Namun topik itu akhirnya bertukar menjadi medan membelasah Aswad dan Aswad dan Aswad. Terkejut juga mendengar cara dua ahli panel meluahkan idea bernas mereka untuk menegakkan apa yang mereka fikir.
Ahli-ahli panel yang mengambil bahagian terdiri dari Pengetua AF5, Roslan Aziz, juri tetap Fauziah Dato Ahmad Daud, Editor Hiburan Kosmo, Saharuddin Mustapha dan pemberita dari Malay Mail Joe Lee.
Lebih manis rasanya kalau topik itu dibincangkan secara profesional tanpa melibatkan sebarang individu. Jauh tersasar apa yang ingin didebatkan dan yang timbul semalam hanya persoalan sekitar seorang pelajar sahaja Aswad - soal kenapa pelajar yang selalu sakit ini mendapat undi simpati, undi kesian, menyanyi sumbang, menari sumbang walaupun pernah buat album dan sudah tua untuk diberi peluang masuk AF5.
Tidakkah semua persoalan itu sudah obselete memandangkan konsert akhir akan berlangsung dalam masa dua hari sahaja lagi? Apakah motif dan agenda menyampaikan informasi begini. Adakah untuk mempengaruhi undi Aswad?
Yang hairannya ketelusan program ini telah dieksploitasikan untuk kepentingan orang-orang tertentu. Apabila kita terlalu ghairah cuba mempengaruhi orang-orang di luar sana dengan pandangan kita yang bersifat judgemental itu, bagaimana mungkin kita mampu bersikap profesional, fikirkanlah?
Soal Aizat, Dafi, Shawal atau pelajar-pelajar lain yang terkeluar sudah tidak perlu dibincangkan lagi. Semuanya sudah berlalu. Yang seharusnya dibincangkan sekarang ialah berkesan atau tidak pemberian empat lampu biru itu? Yang meleret-leret sampai out of tangent tu kenapa?
Mereka yang diundang untuk berdebat adalah mereka yang arif dalam bidang masing-masing tapi sayang mereka tidak dapat mempertahankan kewibawaan dan kredibiliti mereka apabila terlanjur dan emosi membincangkan pasal Aswad dan peribadinya.
Secara psikologi, adakah ini satu petanda awal yang pengaruh Aswad kuat sama hebat dengan penyokong 'grass root' nya maka sebab itulah kehadirannya yang lemah, sakit, lesu dan berbekalkan 'wajah kesian' tetap digeruni.
Dari semenjak Aswad mendapat chicken pox, 'berebut lagu dengan Rizal', menjadi bahan lawak ketika lagu 'Washing/watching', menjadi 'Penyu Menangis' ketika lagu 'Ayah & Ibu', masuk wad kerana disyakki demam denggi dan disifatkan sebagai pelajar paling degil, lembab, paling kayu dan tidak layak ke konsert akhir, Aswad tidak habis-habis dikutuk.
Sungguh hebat penangan Aswad sehingga kehadirannya menjadi kebencian hampir semua wartawan hiburan. Bila difikirkan balik, sehebat manakah pengaruh Aswad ini sehinggakan setiap langkah Aswad dijadikan bahan dan modal untuk berdebat?.
Tidak dinafikan Astro telah berjaya mencipta kejutan, polemik dan fenomena baru dalam AF5 di mana seorang pelajar yang dipilih oleh Adnan Abu Hassan dan Deja Moss ini di Hotel Grand Continental, Pulau Pinang di peringkat saringan boleh menimbulkan kontroversi yang sebegini hebat.
Bermati-matian kelompok anti-Aswad inginkan dia kecundang. Berhempas pulas mereka ingin membuktikan Aswad bertahan hasil dari elemen kesian yang diujudkan oleh Astro.
Kononnya, kehadirannya hanya sekadar meraih undi simpati kerana bakat yang ada tidak sebesar mana. Semakin terdesak kelompok anti-Aswad ingin membuktikan semua ini, bertambah kuat lagi kubu pertahanan Aswadfrenzy, penyokong-penyokong yang on the fence selama ini juga kemungkinan akan bangun mengundi Aswad.
Dan pusingan ini akan berterusan sehinggalah Juara AF5 dinobatkan.
Ketika keputusan sudah diketahui, tidak perlulah lagi didebatkan kenapa dan mengapa Aswad kalah atau menang kerana apa saja jawapan yang diberi tidak akan memuaskan hati kedua pihak - baik yang anti-Aswad mahupun penyokongnya.
Itulah adat pertandingan, tidak ada siapa yang puas hati dan yang menjadi 'mangsa' percaturan ini tetap Aswad.
source
|
|
| Akademi Fantasia News : Siapa juara AF5? |
| Posted by ice on 2007/5/18 5:34:11 (4495 reads) |
DIAM tak diam, program televisyen realiti paling popular di Malaysia, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) bakal melabuhkan tirainya malam esok.
Ramai yang mula berteka-teki siapakah yang bakal menjadi juara kali ini. Melihatkan situasi kali ini, sesiapa sahaja boleh menjadi juara berbanding empat musim terdahulu yang menyaksikan pemenangnya sudah boleh diduga.
Tidak dinafikan pola pengundian untuk AF5 sentiasa berubah-rubah. Seperti yang sedia maklum, pengundi setia Akademi Fantasia mengundi peserta kegemaran mereka berdasarkan personaliti dan bukannya bersandarkan pada bakat mereka semata-mata.
Namun, bukan semua yang begitu. Di tengah-tengah mereka yang buta seni, masih lagi ada yang celik dan pandai menilai bakat peserta AF5.
Kelima-lima peserta yang melangkah ke peringkat akhir iaitu Mila, Ebi, Aswad, Candy dan Heliza mempunyai keistimewaan dan bakat tersendiri.
Siapakah yang bakal menjadi juara AF5? Mari kita ikuti ramalan Mega.
Norsyarmilla Jirin, 19 (MILA)
Ramai yang mula memperkatakan tentang bakat gadis kecil molek ini. Mula mendapat perhatian ramai sejak konsert minggu keempat saat mendendangkan lagu Benci Tapi Rindu (nyanyian asal Diana Nasution). Sejak itu, prestasi persembahannya meningkat dan konsisten minggu demi minggu.
Buktinya, pada persembahan minggu lalu ketika mendendangkan lagu Pudar (Rossa) dan berduet dengan Ebi menerusi lagu My Heart, kedudukannya yang pada mulanya di tangga tercorot mendadak naik ke tangga pertama selepas undi ditutup. Mila membawakan setiap lagu yang diberikan dengan gaya tersendiri dan seolah-olah lagu itu adalah miliknya. Sudah jelas menunjukkan, pengundi tidak buta dan ternyata bijak mengundi Mila berdasarkan pada bakatnya.
Kekuatan vokal yang ada pada Mila ternyata menjadi kelebihan buat dirinya dan membuatkan para peminat dan penyokongnya terus mengundinya kerana mereka tahu persembahan Mila tidak akan mengecewakan. Jika peminat setianya terus mengundinya dan Mila sendiri memberi persembahan yang mantap dan bertenaga, maka, tidak mustahil, Mila bakal memecah dominasi juara AF dengan menjadi peserta wanita pertama menjadi Juara AF.
Ebi Kornelis @ Firdaus Yamal, 23 (EBI)
Ebi juga seperti Mila yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang minggu demi minggu. Memang pada awal konsert ketika mendendangkan lagu Milik Siapakah Gadis Ini, dia tidak begitu menyerlah tetapi atas kritikan membina pengkritik tetap iaitu Fauziah Latiff, Hattan dan Ogy Ahmad Daud, dia bangkit dan mengejutkan ramai apabila dia berjaya membawakan lagu Kasihnya Laila dengan cukup cemerlang pada minggu keempat.
Persembahannya itu diberi standing ovation oleh mereka yang hadir menyaksikan konsert pada waktu itu. Kelebihan Ebi sudah pasti terletak pada wajah kacaknya yang mirip Yusry (KRU). Namun, Ebi tidak hanya mempertaruhkan ketampanannya sahaja kerana jika diteliti, Ebi sebenarnya mempunyai tone suara yang baik dan boleh diasah jika diberi peluang kelak.
Ebi dilihat sebagai saingan sengit kepada Mila dan jika peminat dan penyokongnya bertungkus-lumus mengundinya, tidak mustahil dia menjejaki langkah Vince, Zahid, Mawi dan Faizal untuk bergelar juara.
Muhammad Nur Aswad Jafar, 27 (ASWAD)
Aswad dilihat sebagai pelajar paling ‘kontroversi’. Masakan tidak, dia tidak dapat membuat persembahan pada konsert minggu pertama dan kedua kerana diserang demam campak.
Minggu lalu, juga menyaksikan dia tidak dapat beraksi pada persembahan pembukaan untuk lagu Let’s Dance Together dan juga Menuju Puncak kerana menghidap demam panas dan kekejangan otot.
Dengan statusnya sebagai anak yatim piatu, itu sudah pasti menjadikan Aswad sebagai mangsa ‘undi kasihan’ seperti mana yang dialami oleh Mawi dulu yang mendapat perhatian kerana kenaifan dan latar belakangnya. Lebih-lebih lagi, Aswad juga mempunyai iras wajah seperti Mawi.
Namun, Aswad juga mempunyai kelebihan dan ia terletak pada vokalnya yang mampu mengalunkan lagu-lagu pop Melayu dengan baik. Ini dapat dilihat ketika dia menyampaikan lagu Korban Cinta sehingga mendapat tepukan gemuruh dan diberi penghormatan oleh penyanyi asal lagu itu, Aris Ariwatan. Malah dia juga membawakan lagu Mungkin Langitmu Lebih Biru dengan gaya tersendiri tanpa mengikut lenggok Mawi.
Ketika ini, kedudukan Aswad berada di tempat tiga teratas dalam carta pengundian. Adakah dia mampu bergelar juara esok? Semuanya di tangan peminatnya.
Candra Clement, 19 (CANDY)
Uniknya Candy adalah apabila dia berada di atas pentas, dia menjadi seperti orang lain dan bukan seperti Candy yang kita tonton di dalam Diari Akademi Fantasia 5. Dia juga seperti Mila, mempunyai kekuatan vokalnya yang tersendiri.
Berbekalkan vokal lantang dan bertenaga, dia mampu memberikan persembahan yang baik pada malam esok namun, kekurangan Candy adalah, dia kurang menjiwai lagu yang diberikan. Persembahannya juga tidak konsisten. Ada minggu dia cemerlang, ada minggu dia tidak. Seperti minggu lalu, lagu Cahaya Cinta yang dibawanya tidak sebagus lagu Perhaps, Perhaps, Perhaps yang dibawanya pada minggu sebelumnya.
Jika Candy mengaplikasikan segala tunjuk ajar yang diberikan tenaga pengajar, dia mampu untuk memukau penonton dan penyokong setianya untuk meraih undi tinggi bagi persembahannya.
Nur Heliza Helmi,
21 (HELIZA)
Peserta yang dicop sering ‘kontrol cantik’ oleh Ogy Ahmad Daud ini juga mencipta sejarah kerana buat pertama kalinya peserta wanita bertudung melangkah ke pentas akhir AF selepas Salima kecundang di pertengahan jalan tahun lepas.
Sering dilabelkan sebagai klon Datuk Siti Nurhaliza, Heliza dilihat cuba untuk keluar dari lingkaran biasanya dan dengan itu, dia berjaya mencuri hati pengkritik dan pengundinya ketika mendendangkan lagu Kesal pada minggu kelapan.
Heliza perlu cuba untuk mevariasikan vokalnya dan tidak perlu statik dalam satu jenis genre lagu sahaja. Mungkin dia ingin berada di zon selesa dan selamat. Namun, jika dia berjaya menunjukkan bakatnya dan menjadi seorang yang versatil pada malam esok, tidak mustahil dia juga mampu diangkat sebagai juara.
source |
|
| Akademi Fantasia News : “Yang terbaik, tidak semestinya jadi juara” - Siti Nurhaliza |
| Posted by ice on 2007/5/18 5:31:31 (4140 reads) |
“Aizat antara pelajar yang berbakat cuma rezekinya sahaja tak ada untuk meneruskan perjuangan di Akademi Fantasia 5 (AF5),” lafaz Datuk Siti Nurhaliza tentang Aizat AF5 yang ditemui pada majlis meraikan kelab peminat Aizat iaitu Aizone di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Siti, Aizat telah mempamerkan bakat semula jadinya ketika berada di AF5. Lantas penyingkirannya pada konsert minggu ketujuh program itu diharapkan tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam industri seni.
“Yang terbaik, tak semestinya jadi juara. Jadi saya harap Aizat tak akan putus asa. Malah saya berharap sangat supaya Aizat terus-menerus belajar untuk memperbaiki dirinya,” kata Siti yang hadir bersama suaminya dan anak-anak tirinya.
 AIZAT (kanan) dikerumuni peminat-peminatnya.
Mengakui dirinya juga antara peminat Aizat, Siti yakin Aizat mampu bersinar jika jejaka berusia 18 tahun itu bekerja keras.
Mengenai desas desus mengatakan Siti Nurhaliza bakal mengambil Aizat untuk menjadi artis Siti Nurhaliza Productions (SNP), sambil ketawa Siti berkata: “Perkara tersebut belum ditentukan lagi. Sebab sehingga ke hari ini SNP belum pernah ambil mana-mana individu sebagai artis, cuma menguruskan saya sahaja.”
Malah kata penyanyi jelita ini, kedatangannya pada majlis tersebut bertujuan untuk memberi semangat kepada Aizat.
“Walaupun saya ada empat acara lain untuk dihadiri pada hari ini tetapi saya tetap luangkan masa untuk datang ke majlis ini. Lagipun saya memang dah kenal lama dengan ayah Aizat, Datuk Amdan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut Siti telah diberi penghormatan membuat persembahan pembukaan menerusi lagu Joget Pahang.
*Mahu Aizat jadi macam Sudirman - Ayah
Sementara itu ayah Aizat, Datuk Amdan Mat Din pula mengharapkan anaknya menjadi seorang penghibur yang bukan sahaja mampu menghiburkan kaum Melayu tetapi untuk semua kaum.
“Saya yakin dia berbakat dan saya mahu dia terus belajar untuk menjadi yang terbaik. Saya mahu dia menjadikan Sudirman dan Siti sebagai ikonnya. Sebab itu saya akan tetap menyokongnya dari belakang,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Bercerita tentang sifat Aizat, kata Amdan, khalayak terkeliru mengenai sifat sebenar anaknya.
“Dia bukanlah seorang yang celupar atau mulut laser. Cuma dia tidak tahu untuk cakap belakang. Dia jenis yang berterus terang. Ramai yang salah faham tentang dia,” katanya.
Mengulas tentang penyingkiran Aizat yang dikatakan berpunca daripada status keluarganya yang berada, kata Amdan, “Ini semua melibatkan minda. Apabila kita mengundi kita sepatutnya menyokong bakat dan kesungguhan seseorang peserta itu. Bukan memandang yang sebaliknya.”
*Aizat pertama kali bertemu peminat
“Ini pertama kali saya berjumpa dengan para peminat dan tak sangka sokongan begitu ramai. Apa pun saya berterima kasih kepada mereka yang telah mengundi saya sehingga saya dapat bertahan hingga ke minggu ketujuh,” lafaz Aizat ketika bertemu Mega selepas majlis itu.
Pada majlis tersebut, Aizat menghiburkan peminatnya dengan beberapa buah lagu antaranya Lagu Jiwa Lagu Cinta berduet bersama ayah tirinya, Syed Abd. Rahim Syed Jaafar, Layu Sebelum Berkembang, La Camisa Negra dan Ibu.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini kata Aizat, semuanya bergantung kepada Maestro.
“Saya masih lagi mengikut segala aktiviti yang disediakan oleh Maestro. Mengenai album pula saya serahkan segalanya kepada mereka juga,” katanya.
Sementara itu, kelab peminat Aizat, Aizone telah ditubuhkan pada minggu keempat konsert AF5 dan diterajui oleh Anne Khalid. Sehingga kini, hampir 200 peminat telah mendaftar sebagai ahli.
“Pendaftaran adalah percuma dengan melayari laman web www.kasi gegar.com,” kata Anne.
source
|
|
| Akademi Fantasia News : Di Sebalik Tabir: Kerja bentuk imej Aswad paling banyak cabaran |
| Posted by ice on 2007/5/17 3:46:18 (4074 reads) |
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Jasmi Rejab bertanggungjawab menata rias pelajar Akademi Fantasia musim kelima
SABTU ini Konsert Akhir Akademi Fantasia (AF5) bakal berlangsung. Adakah Mila bakal bergelar juara dan sekali gus memecah monopoli yang selama ini dikuasai pelajar lelaki?
Bagaimanapun soal itu kita tolak ke tepi dulu dan selami debaran yang bukan saja dirasai pelajar itu tetapi juga mereka yang terbabit di belakang tabir program termasuk penata gayanya Jasmi Rejab.
Menjelang konsert akhir yang bakal berlangsung nanti, Di Sebalik Tabir menemui Jasmi, pereka muda berusia 30 tahun ini untuk mengetahui persiapannya untuk memastikan mereka ‘masuk gaya’.
Ketika bertemu dengannya Isnin lalu, Jasmi berkata setakat ini persiapan baru mencecah 40 peratus kerana tugas menata rias bukan satu tugas yang mudah apa lagi apabila AF menjadi program yang mendapat perhatian ramai.
Silap hari bulan gaya yang tidak sesuai bakal mengundang kritikan hebat. Sebab itu, ketika ditawarkan tugas ini Jasmi agak keberatan untuk menerimanya. Sentuhan Jasmi bagaimanapun tidak mengecewakan walaupun ada juga yang tidak berapa berkenan dengan stail yang diketengahkannya.
Bagaimanapun sentuhan Jasmi dengan AF musim dulu, perbezaannya cukup ketara. Pakaian yang dipakai pelajar ketika konsert sering saja mengundang kritikan pengkritik dan juga pihak media. Namun musim ini imej pelajar tidak banyak diperkatakan.
“Saya akan lakukan sesuatu yang berlainan untuk konsert akhir ini supaya mereka tidak kelihatan sama dengan konsert mingguan. Cabarannya tentulah lebih besar untuk membuatkan imej mereka nampak berbeza.
“Saya tidak bekerja seorang diri untuk menentukan gaya pelajar. Kami ada team yang akan duduk bersama dan berbincang termasuk pihak produksi sendiri. Pihak produksi biasanya akan beritahu kami tema dan gaya bagaimana yang mereka mahu pelajar itu ditampilkan.
“Bagaimanapun, kami ada hak untuk menyuarakan pendapat. Tidaklah 100 peratus mengikut kata mereka. Apa yang kami rasa sesuai, kami akan ikut tetapi jika kami rasakan kurang sesuai kami beritahu,” kata Jasmi.
Menurut Jasmi, paling mencabar adalah untuk menggayakan Aswad kerana dia agak keras. Justeru, tidak mudah mencari pakaian yang sesuai dengan karakter pelajar berkenaan. Rambut Aswad juga adalah salah satu masalah yang mengganggu gayanya.
Terlebih dulu sebelum menentukan pakaian apa yang perlu dipakai pelajar, Jasmi mengkaji karakter pelajar serta lagu yang bakal mereka nyanyikan. Dia bagaimanapun tidak menghadapi sebarang masalah dengan pelajar wanita kerana mendapat banyak tajaan. Hanya tubuh mereka yang kecil dan rendah saja masalahnya.
Sementara bagi pelajar lelaki pula, ada ketikanya baju baru terpaksa direka untuk mereka kerana baju tajaan tidak sesuai untuk digayakan. Kata Jasmi, untuk konsert akhir nanti beberapa baju untuk pelajar lelaki terpaksa dibuat.
Setiap Selasa, sebaik saja mengetahui lagu apa yang akan dinyanyikan pelajar, Jasmi akan mula sibuk mencari baju yang sesuai. Proses itu saja akan mengambil masa selama dua hari setengah.
Dia juga akan berbincang dengan juru mekap yang diketuai Zulfazli dan Ego Salon mengenai solekan dan rambut yang sesuai dengan pelajar.
“Ketika latihan penuh pada setiap Jumaat, kita akan buat fitting. Masa itulah kalau ada apa yang perlu diubah kita akan ubah. Pada hari Sabtu pula, satu jam sebelum konsert bermula kita akan buat ‘makeup check’.
“Masa ‘makeup check’ itu kita akan lihat pelajar daripada skrin. Kita mahu lihat sama ada rambut dan mekap sesuai atau tidak. Kalau mekap perlu ditambah kita akan tambah dan perlu dinipiskan kita akan buat,” kata Jasmi mengenai proses kerjanya.
Pakaian pula kata Jasmi, biasanya akan disediakan sebanyak tiga helai sebagai persediaan jika berlaku sebarang perubahan. Mereka semua akan mula berada di dewan pada jam 5 petang setiap minggu untuk melakukan persiapan.
Persembahan pembukaan dan lagu bonus juga adalah cabaran juga kerana semua pelajar akan menyanyi justeru imej mereka harus nampak ada keseimbangan agar tidak kelihatan bercelaru.
source |
|
|
|