Faith Makan Minum Tidur - AF


Joined: 02 Aug 2004 Posts: 960 Location: KL
|
Posted: Thu Aug 11, 2005 7:18 am Post subject: Bintang AF2 - Penuhi selera penonton |
|
|
Bintang AF2 - Penuhi selera penonton
Oleh WANDA IDRIS
ZAHID (dua kiri) dan teman-teman (dari kanan) Adam dan Nana serta Farah berjanji memberikan persembahan mantap pada minggu kedua Sunday Nite Live di Planet Hollywood Kuala Lumpur, 21 Ogos ini.
--------------------------------------------------------------------------------
SEKADAR satu liburan! Memang tidak boleh mengharapkan satu persembahan bertaraf lima bintang apabila Zahid dan teman-teman Akademi Fantasianya (AF) hadir mengisi slot Sunday Nite Live di Planet Hollywood, Kuala Lumpur malam minggu lalu.
Namun bekas juara AF2 dan teman-temannya itu berjaya menghiburkan pengunjung khususnya peminat mereka yang memenuhi ruang di pusat hiburan tersebut.
Satu sebab yang pasti; kerana seleksi lagu-lagu yang didendangkan oleh Zahid dan teman-teman; Farah, Adam dan Nana memang memenuhi selera penonton.
Apalagi kebanyakan lagu yang dipilih adalah lagu-lagu popular yang biasa menjadi halwa telinga khusus bagi pengunjung kelab seperti itu.
Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan andai kebanyakan lagu yang dipersembahkan mendapat tepukan dan sorakan daripada pengunjung terutama lagu-lagu
yang disajikan pada set kedua showcase itu.
Paling menghangatkan suasana malam di pusat hiburan itu tentunya apabila Zahid dengan petikan gitar Sham Kamikaze yang menjadi pengarah muzik persembahan itu menyampaikan lagu-lagu Still Got The Blues dan Highway Star.
More Than Words serta Wo! juga mencuri perhatian pengunjung malah gelek Zahid yang diiringi teman-teman ketika menyampaikan lagu Cek Mek Molek yang pernah dipopularkan Datuk M. Daud Kilau sebagai lagu penutup tirai persembahan malam itu berjaya menggamatkan suasana.
Sehinggakan ramai meminta Zahid, Farah, Adam dan Nana meneruskan persembahan; dan lagu `paling popular' Menuju Puncak disajikan serta mendapat tepukan gemuruh penonton.
Berlatih dua hari
ZAHID dan teman-teman membuka tirai persembahan dengan lagu Summer of 69 diikuti dengan lagu This Love sebelum masing-masing muncul solo menghiburkan pengunjung; Adam dengan lagu Terhangat Di Pasaran, Farah (Since You've Been Gone), Nana (I Feel Good) dan Zahid (medley She's Gone/Cinta Kristal, Everything I Do (I Do It For U) sebelum menamatkan set pertama dengan lagu Mulanya Di Sini secara berkumpulan.
Pada set kedua, selain Zahid yang mendapat tepukan gemuruh, persembahan teman lain; Adam dengan lagunya How Deep Is Your Love, Nana (Katakan) dan Farah (Usah Kau Berpaling) turut mendapat sambutan.
Menyaksikan persembahan julung kalinya bintang-bintang AF di pentas itu, kelihatan Zahid agak santai, mungkin kerana pernah berpengalaman menyanyi di kelab berbanding teman lain yang rata-rata merupakan pertama kali beraksi di tempat seperti itu.
Namun menyelami perasaan juara AF2 itu yang ditemui Mega selepas selesai persembahan, nyata Zahid begitu gementar sekali.
Secara jujur, kata Zahid sewaktu ditemui, ``Set pertama memang mendebarkan. Tahu sahajalah demam AF3 masih terasa, takut juga kalau tak ada sambutan.''
Selain itu katanya, latihan intensif untuk persembahan itu juga tidak dapat dilakukan ekoran kesibukan Sham yang juga mengetuai persembahan pada malam konsert akhir AF3, sehari sebelum itu.
``Saya dan kawan-kawan hanya sempat berlatih selama dua hari sebelum show menyebabkan ada beberapa lagu, petikan daripada album sendiri seperti lagu saya, Wo!, Terhangat Di Pasaran (dendangan Adam) dan Katakan (Nana) menggunakan minus one,'' jelasnya sambil menjanjikan persembahan mantap pada minggu kedua persembahan Zahid & Friends, 21 Ogos ini.
Tamu VVIP
SELAIN pengacara AF, Aznil Nawawi, bekas pelajar AF2, Zarina dan Anding, turut kelihatan menyaksikan persembahan malam itu. Tetamu istimewa dari Brunei, Pengiran Sufri juga hadir memberi sokongan kepada Zahid dan rakan-rakan lain.
``Saya hanya diberitahu ada VVIP yang hadir tapi tidak tahu siapa. Apabila melihat beliau, saya rasa terkejut dan membuatkan perasaan gementar terus menguasai diri.
``Tetapi apabila sudah berinteraksi dengan pengunjung dan melihat reaksi positif mereka, saya mula yakin di pentas terutama pada set kedua apalagi penonton memberi respons yang sangat baik sekali,'' kata Zahid.
Sememangnya melihat pada sambutan yang diterima, boleh dikatakan ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi bintang baru seperti Zahid, Adam, Farah dan Nana.
Namun mereka harus berusaha memperbaiki diri jika mahu terus kekal di persada seni terutama daripada segi vokal.
Lupakan tentang alasan bahawa mereka masih mentah atau usia seni mereka baru setahun jagung.
Kerana seperti kata Ramli MS, bekas pengetua AF2 kala berbual dengan Mega sewaktu menyaksikan persembahan itu, ``Mereka perlukan latihan berterusan jika mahu berjaya,'' dan kata-kata itu seharusnya diambil berat untuk terus berusaha dan belajar bagi memperbaiki diri.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm |
|