Faith Makan Minum Tidur - AF


Joined: 02 Aug 2004 Posts: 960 Location: KL
|
Posted: Tue Oct 18, 2005 7:54 am Post subject: Mas AF2 mahu kumpul harta di KL |
|
|
Mas AF2 mahu kumpul harta di KL
Oleh MUZLINA ABU BAKAR
KETIKA menyaksikannya setiap malam dalam Diari AF2 tahun lalu, memang sering kelihatan pelajar yang berasal dari Tawau, Sabah, Mas - seorang pelajar yang blur dan sukar menerima apa yang diajarkan oleh tenaga pengajar.
Kadangkala bila cikgu mengajar di depan, dia bercakap di belakang. Sikap sambil lewanya itu bukan sahaja membuatkan ada tenaga pengajar yang marah malah kerana sikapnya itu dia mula menjadi buah mulut orang.
Tetapi itu gelagat Mas atau nama sebenarnya Asma Ghani, 24, ketika dalam Diari AF2!
Hari ini jika anda bertemu dengan ibu tunggal beranak dua ini pasti anda terkejut. Sebabnya pelajar yang dulunya dikatakan terlalu blur rupa-rupanya bijak mengatur hidup dengan pendapatannya sebagai penyanyi hari ini.
Kalau tidak masakan baru empat bulan tinggal bersama ayah, Haji Ghani Givie, 64, ibu, Hajah Ayuma Haji Watson, 54, dan dua anaknya - Nurfadzilah Mohammad, 7, dan Mohd. Fadzil, 4, di Pandan Jaya, Mas bukan sahaja mampu membayar sewa rumah RM800 sebulan malah dia juga sudah memiliki kenderaan sendiri!
Kia Citra yang berharga RM84,000 dibeli sejak Julai lalu dengan bayaran bulanan lebih RM800. Mas bukan setakat membeli Kia Citra malah dia juga pastikan sebelum memiliki kenderaan itu dia memiliki lesen memandu yang sah walaupun dia dan ayahnya setakat ini tahu memandu sekitar Fajar di Pandan Jaya!
Kini bersama kedua-dua orang tuanya dan dua orang anaknya, Mas yang menyewa rumah teres dua tingkat merancang yang terbaik untuk dirinya dan kedua anaknya.
"Mas tidak mahu anak-anak Mas hidup susah. Sebab itu mulai sekarang Mas harus pandai mengatur perbelanjaan. Mas nak kumpul harta banyak-banyak di KL. Dulu semasa menyewa rumah dengan Nurul AF2, Mas rasa rindu sangat terpisah daripada anak-anak.
"Tapi... sekarang bukan setakat anak malah emak dan abah juga ada tinggal dengan Mas, jadi seronoklah bila Mas pergi show sebab emak dan abah serta anak-anak ada di rumah, '' cerita Mas sambil memandang anak- anak dan kedua-dua orang tuanya yang sentiasa di sisinya sepanjang temu ramah itu.
Menurut Mas, walaupun 25 peratus daripada duit show diambil oleh Maestro namun beliau tidak pernah mempersoalkannya kerana setiap bulan mendapat gaji yang berpatutan dan mampu menyara keluarga dan kehidupan.
Apabila mengajak kedua-dua orang tuanya menetap di Kuala Lumpur, Mas mempunyai perancangannya sendiri. Menyedari satay keluarganya begitu istimewa dan mendapat sambutan hangat di Tawau, Mas mahu kembangkan perniagaan keluarga di Kuala Lumpur.
Sebab itu bila emak dan abahnya datang ke KL, Mas tidak teragak-agak membuka gerai sataynya di My Friend, Ampang.
"Sayangnya hanya dua bulan sahaja mampu bertahan sebab makcik tak tahan meniaga satay di sini.
"Kalau di Tawau, pukul 11 malam kita sudah sampai rumah dan boleh berehat. Tapi...di KL gerai kami mula buka pukul 4 petang, pukul 2 pagi baru orang mula datang makan satay,'' cerita emak Mas, Ayuma Haji Watson.
Menurut Ayuma, disebabkan mahu menemankan Mas dan anak-anaknya tinggal di KL, beliau dan suami meninggalkan perniagaan satay mereka kepada kakak Mas iaitu Faridah, Julimah dan Suwayana.
"Sekarang Mas dengan abah tengah cari tapak yang sesuai sekitar Pandan Indah ataupun Ampang untuk meniaga satay,'' kata Mas.
Bila bercakap tentang kahwin, sebagai wanita yang pernah hidup bersuami sudah tentu inginkan teman tetapi berlainan pula dengan Mas.
"Mas tak nak kahwin lagilah. Biarlah Mas besarkan anak-anak dulu. Selepas itu kalau ada jodoh baru fikir tentang kahwin,'' begitulah kata Mas bila ditanya tentang kahwin.
Sebagai wanita tentu Mas mempunyai sebab tersendiri. Mungkin luka lama masih terparut di hati menyebabkan Mas takut untuk berkahwin lagi.
"Dulu saya berkahwin atas dasar cinta sama cinta. Saya kahwin masa umur 16tahun pada 25 Oktober 1997 tapi nak buat macam mana jodoh kami tak panjang akhirnya kami bercerai pada 23 September 2003.
"Selepas bercerai sembilan bulan barulah Mas masuk AF2,'' cerita Mas.
Menurut Mas, selain hatinya belum terbuka untuk berkahwin anak-anaknya, Nurfadzilah dan Mohd. Fadzil juga tidak mahu Mas berkahwin.
Nurfadzilah pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, bila ditanya jika ibunya ingin berkahwin lagi, dengan pantas menjawab;
"Tak mahu mama kahwin lagi, nanti kena pukul dengan papa. Papa tiri jahat.''
Mas yang mendengar jawapan anaknya ketawa sambil berkata;
"Begitulah pengaruh filem-filem Melayu. Anak-anak Mas tak mahu Mas kahwin sebab mereka kata ayah tiri atau ibu tiri jahat suka pukul anak tiri.''
Sepanjang temu ramah dan fotografi itu, Mas bukan sahaja berhati-hati bila bercakap malah bila bergambar dia sering bertanya jurugambar agar dia tidak kelihatan seksi.
"Tolong ya jangan nampak seksi nanti kakak-kakak Mas kat Tawau marah. itulah syarat yang kakak berikan kalau Mas nak jadi penyanyi.
"Disebabkan itulah setiap kali gambar Mas keluar di majalah cepat-cepat Mas beli takut kena marah. Tapi sebelum bergambar pun Mas minta kerjasama dan jasa baik jurugambar kalau Mas nampak seksi atau baju terlondeh sana sini tolong tegur, takut....nanti kena hamun dengan kakak,'' kata Mas.
Menurut Ayuma, walaupun kini Mas sudah bergelar ibu tunggal namun segala pergerakannya masih diawasi oleh kakak-kakak dan sebab itulah beliau dan suaminya sanggup tinggalkan Tawau demi menemani Mas.
"Selalu bila kakak-kakaknya dari Tawau telefon pesan sama makcik tengok-tengok Mas jangan bergambar seksi. Kalau seksi siaplah pagi-pagi mereka telefon nanti susahlah Mas mahu menjawabnya,'' kata Ayuma.
SELEPAS AF2 berakhir, Mas pernah berlakon dalam drama bersiri Haryati (sudah ditayangkan di TV2) dan kemudian filem Diva Popular yang belum ditayang lagi.
Bagaimanapun selepas drama dan filem itu, Mas tidak pernah ditawarkan berlakon.
Sebagai orang baru dalam bidang seni, Mas memang mengharapkan bakatnya dalam kedua-dua bidang akan dapat digunakan sepenuhnya untuk memenuhi impian mengumpul harta sebanyak mungkin.
Tetapi apa yang menyedihkan cakap-cakap yang didengar daripada beberapa orang pengarah membuatkan dia tertanya-tanya apakah semua itu benar belaka?
"Mas pun tak tahu sama ada betul atau tidak. Tetapi selepas kak Erma (pengarah drama dan filem berkenaan) ada beberapa pengarah beritahu Mas tak berani nak offer berlakon sebab mahal.
"Mas tidak tahu tentang bayaran sebab semua diuruskan oleh Maestro. Cuma apa yang Mas tahu setiap bayaran yang kami terima pihak Maestro akan ambil 25 peratus untuk khidmat mereka,'' kata Mas terus-terang.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_06.htm |
|