Login
Username:

Password:

Remember me?
Anonymous

Lost Password?

Register now!
Main Menu
Who's Online
3 user(s) are online (1 user(s) are browsing News & Articles)

Members: 0
Guests: 3

more...
   Register now on AkademiFantasia.Net!    Login

Akademi Fantasia News : Konsert Prelude pilih 12 pelajar ke AF3
Posted by Faith on 2005/5/20 4:09:10 (4148 reads)

Konsert Prelude pilih 12 pelajar ke AF3
Oleh Hanisah Selamat


PENENTUAN siapa 12 pelajar yang bakal diserapkan ke Akademi Fantasia tiga (AF3) daripada 20 calon terakhir hanya dapat dipastikan menerusi Konsert Prelude AF yang akan disiarkan secara langsung pada 21 Mei ini.

Konsep terbaru Astro untuk AF musim tiga ini dianggap sebagai sesi penutup uji bakat yang pernah diadakan di 10 lokasi seluruh negara sekali gus menjadi medan menguji kemantapan bakat, personaliti dan gaya persembahan peserta.

Daripada 4,000 calon yang datang mencuba nasib, 10 calon lelaki dan 10 wanita dipilih untuk menjalani pemilihan terakhir bagi mencari 12 calon paling layak meneruskan impian menyertai program TV realiti popular itu.

Pengarah Program Astro, Zainir Aminullah, berkata Konsert Prelude AF ini adalah kemuncak sesi uji bakal yang bakal menentukan nasib setiap peserta dan hanya enam lelaki serta enam wanita akan dipilih meneruskan cabaran di akademi.

“Keputusan terletak 100 peratus di tangan juri yang turut membariskan Pengetua baru AF, M Nasir. Ini selari dengan konsep rancangan yang mana panel profesional menyenarai pendek bakat baru, manakala juri pula menentukan siapa layak ke akademi.

“Ini adalah pembaharuan yang kami perkenalkan pada musim baru. Masing-masing punya kelebihan, namun Konsert Prelude ini bakal menentukan kedudukan mereka sama ada layak atau tidak patut berada di AF3,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pelajar, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Program MelayuAstro; Rozina Aziz, Pengurus Bahagian Pemasaran Prabayar Maxis Communication; Shamsidar Hashim, Pengurus Besar Measat Publications Sdn Bhd; Louis Foo serta Pengurus Besar Kanan Pemasaran dan Jualan Suzuki Automobil (M) Sdn Bhd; Stanley Tan.

Calon wanita terdiri daripada daripada Amy; 21, Amylea; 19, Akma; 20, Diana; 22, Elliza; 2, Ekin; 21, Idayu; 20, Marsha; 20, Rina; 21dan Shiha; 19 manakala peserta lelaki ialah Aidil; 21, Azlif; 23, Felix; 23, Fuad; 20, Haider; 20, Isa; 19, Kefli; 21, Mawi; 24, Reza;27 serta Yazer; 23 .

Pada majlis sama, Zainir turut mengumumkan M Nasir sebagai Pengetua baru dan Kudsia Kahar pula masih dikekalkan sebagai pengkritik tetap.

Tenaga pengajar lain ialah Siti Hajar Ismail (Nada Suara), Adnan Abu Hassan (Vokal), Marlia Musa (Seni Persembahan), Linda Jasmin (Tarian dan Kareografi), Mohd Fathee Abdullah (Tarian dan Kareografi), Dr Azahari Othman (Motivasi) dan Fatimah Abu Bakar (Penasihat/Bahasa Inggeris).

Menyentuh mengenai pemilihan 12 pelajar, katanya panel juri Konsert Prelude AF dibarisi M Nasir, Rozina, Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent and Management Sdn Bhd; Freddie Fernandez, Siti Hajar dan Kudsia Kahar.

Mereka yang bertuah akan mendaftarkan diri di Akademi latihan di The LakeHomes Bungalow, The Mines South Lake bermula 29 Mei ini seterusnya perlu menjalani sesi pembelajaran untuk tempoh maksimum 10 minggu.

Konsert mingguan pula akan bermula 4 Jun ini, jam 8.30 malam di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, manakala penonton yang mahu mengikuti gelagat pelajar boleh menyaksikannya di Tirai AF (22 dan 29 Mei: 9.30 malam dan Diari AF (Isnin hingga Jumaat: 12 tengah hari dan 8.30 malam).

Bagi yang ingin mengikuti Imbasan Akademi Fantasia, paparan itu disiarkan setiap Sabtu, jam 11.30 malam, manakala Konsert Akhir Akademi Fantasia berlangsung pada 6 Ogos, 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam Selangor.

“Kali ini kami mengadakan konsert mingguan dan akhir di Stadium Malawati iaitu gelanggang lebih besar yang boleh memuatkan 3,000 penonton. Ini membolehkan lebih ramai penyokong hadir,” katanya yang mengakui bayaran masuk masih dikenakan iaitu RM20 dan RM40 untuk konsert mingguan.

Sementara itu, musim ketiga ini turut menyediakan ganjaran lumayan kepada juara dengan hadiah mencecah RM250,000 iaitu sebuah pangsapuri, kereta Suzuki Swift 1.5L Hatch, wang tunai RM20,000, pakej percutian ke London/Paris, sistem teater rumah, kerusi urut dan pelbagai barangan lain.

Naib johan menerima hadiah bernilai RM45,000 termasuk wang tunai RM10,000 manakala tempat ketiga meraih RM35,000 iaitu wang tunai RM5,000. Masing-masing menerima pakej percutian ke London serta pelbagai hadiah iringan lain.

Pemenang tempat ke empat dan ke lima turut menerima pakej percutian ke Bali dan hadiah lain. Ganjaran kepada mereka pula mencecah RM25,000 (ke empat) dan RM20,000 (ke lima) termasuk wang tunai serta kerusi urut.

Dari segi pengundian, seperti dua musim terdahulu format undian atau AFUNDI masih dikekalkan dan kali ini penonton di Malaysia bukan saja boleh memilih berdasarkan sistem pesanan ringkas (SMS) malah menerusi butang R (red button) dan talian tetap.

SENARAI CALON PESERTA AF3

Wanita

1. Amylia Mohd Azlan, 21 (Amy)
Melayu
Kuching, Sarawak

2. Amylea Azizan, 19 (Amylea)
Melayu
Langkawi, Kedah

3. Asiah Tunakma Abdullah, 20 (Akma)
Melayu
Kuala Lumpur

4. Nor Diana Akmar Tajul Arrifin, 22 (Diana)
Melayu
Kuala Lumpur

5. Norashikin Abd Rahman, 21 (Ekin)
Melayu Brunei
Wilayah Persekutuan Labuan

6. Elliza Abdul Razak, 21 (Elliza)
Melayu
Kuala Kangsar, Perak

7. Nor Farah Idayu Yaakob, 20 (Idayu)
Melayu
Kota Bharu, Kelantan

8. Marsha Milan Londoh, 20 (Marsha)
Dusun
Tamparuli, Sabah

9. Hazrina Illias, 21 (Rina)
Melayu
Sri Manjung, Perak

10. Nurshiha Mohd Zikir
Melayu
Gombak, Selangor

Lelaki

1. Nik Mohd Aidil Nik Zamri, 21 (Aidil)
Melayu
Kuala Lumpur

2. Azlif Suhaizad Abdullah, 23 (Azlif)
Melayu
Johor Bahru, Johor

3. Felix Agus, 23 (Felix)
Dusun
Kota Belud, Sabah

4. Fuad Razlan Abd Aziz, 20 (Fuad)
Melayu
Kuala Lumpur

5. Haider Arif, 20 (Haider)
Suluk
Kota Kinabalu, Sabah

6. Isa Kumar Jali Sulaiman, 19 (Isa)
Melayu
Kota Samarahan, Sarawak

7. Mohamed Zulkefli Mohd Idir, 21 (Kefli)
Melayu
Kuala Lumpur

8. Asmawi Ani, 24 (Mawi)
Melayu
Kulai, Johor

9. Syaiful Reza Mohamed, 27 (Reza)
Melayu
Kuala Lumpur

10. Mohd Yazer Yusof, 23 (Yazer)
Melayu
Tawau, Sabah

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Hiburan/20050520084128/Article/

Rating: 0.00 (0 votes) - Rate this News -
Printer Friendly Page Send this Story to a Friend Create a PDF from the article


Other articles
2006/6/18 19:30:25 - Mawi World anjur pertandingan mengail
2006/5/9 11:08:42 - Mawi set to conquer Asia
2006/5/8 20:03:12 - AF4: Jangan ada kes bercinta
2006/5/8 19:32:52 - Edisi KL : Diana tidak bersalah
2006/5/7 20:14:52 - Bersama Mawi ke Eropah

Disclaimer Guestbook Privacy Policy FAQ Contact
      Design by 7dana.com     Page generated in 1.893 Seconds | 33 Queries