AF3 tiada lagi Kejutan Baru
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.myAPAKAH ada kejutan pada konsert terakhir Akademi Fantasia 3 (AF3) yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam malam ini, sekiranya kedudukan juara dan tempat kedua sudah pun diketahui sejak awal lagi?
Usahlah berteka-teki kerana sejak konsert minggu pertama Mawi mengungguli pertandingan itu diikuti Felix. Walaupun Felix sering mengekori Mawi, namun jarak undian antara mereka berdua agak jauh. Jika dinilai pada pandangan mata kasar sukar sekali untuk Felix bergelar juara.
Tidak mustahil Mawi akan diangkat sebagai juara oleh peminat fanatiknya meskipun Felix peserta yang serba boleh.
Sekiranya Felix secara tiba-tiba bertukar tempat dengan Mawi, bimbang ada pihak mendakwa wujud konspirasi menjatuhkan pemuda yang dinilai dengan imej ‘alim’ itu.
Bagaimanapun, andai kata itu yang terjadi, ia bukan perkara baru dalam Akademi Fantasia (AF) yang terkenal dengan pelbagai kejutan termasuklah menyingkir dua pelajar pada saat akhir dengan alasan supaya tenaga pengajar dapat memberi sepenuh tumpuan kepada empat pelajar yang masih kekal.
Bukan jumlah pelajar, tetapi kesungguhan pelajar itu sendiri untuk belajar. Empat atau lima tiada bezanya. Yazer layak ke final, tetapi begitulah ketentuan Astro yang berhak melakukan apa saja.
Dalam pada itu, ketika pelbagai pihak sibuk memperkatakan mengenai dua hero AF3 itu, timbul pula persoalan di manakah pula kedudukan dua pelajar lagi, Marsha dan Amylea di hati pengundi?
Adakah mereka sekadar penyeri ‘majlis’, padahal hakikatnya Amylea ternyata amat berbakat di antara mereka bertiga. Marsha mempunyai aura seorang bintang yang boleh menyanyi, bermain alat muzik dan berlakon selain memiliki rupa paras menawan.
Sekiranya benar bagai diduga juara dan tempat kedua sudah ada ‘tuannya’, konsert terakhir malam ini bukan lagi diadakan untuk mencari pemenang, sebaliknya penonton yang datang ke stadium dan juga peminat di rumah sekadar berhibur mendengar lagu baru nyanyian Mawi, Felix, Amylea dan Marsha sambil menjamu mata menyaksikan fesyen pakaian mereka serta bersorak menunjukkan sokongan masing-masing.
Apa jua spekulasi dan kesan yang timbul kepada bakal bintang AF3 itu suatu hari nanti, hakikatnya kantung Astro juga yang penuh.
Sayang sekali kerana AF3 tidak memberi separuh kuasa kepada juri profesional untuk memilih pelajar paling berbakat di antara mereka.
Adakah seseorang yang memiliki suara sehebat Amylea yang mewarisi bakat seni daripada kedua-dua ibu bapanya hanya layak untuk tempat ketiga atau keempat saja? Apa ditakuti selama ini akan terjadi sekiranya undian dihantar sekadar mengikut perasaan.
Yang menerima kesannya kelak adalah pelajar itu sendiri. Seperti kata pepatah, menang sorak kampung tergadai. Cuba lihat apa berlaku kepada bintang AF1 dan 2, yang bergelar juara tidak ke mana (kecuali Vince yang menang banyak anugerah).
Peserta yang tidak bernombor (tidak menang) pula yang aktif mewarnai dunia seni kerana sesungguhnya juara bukan dipilih berdasarkan yang terbaik, tetapi paling diminati oleh pengundi. Soal vokal letak sebelah kerana rupa paras juga pilihan ramai.
Kenyataannya, sama ada pelajar itu terbaik atau sebaliknya terjawab apabila mereka melangkah ke dunia nyata keluar dari akademi. Seperti AF1 hingga 2, perkara sama tidak mustahil menimpa pelajar musim ketiga, apabila mereka menjadi mangsa peminat bermusim. Khabarnya ada pihak sanggup melaburkan sejumlah wang membeli kad prabayar untuk diagihkan kepada pengundi bagi mengundi idola masing-masing.
Bukan itu saja, penyokong Amylea di Langkawi akan mendirikan skrin besar di Dataran Lang untuk kemudahan orang ramai. Manakala orang kampung Mawi di Felda Taib Andak, Kulai, pula akan bermandikan percikan bunga api sekiranya Mawi dinobat Juara AF3.
Satu lagi kejutan AF3 apabila Astro akan memberikan anugerah Vokal Terbaik kepada salah seorang pelajarnya. Dan sekali lagi peranan undian SMS untuk menentukan pemenang.
Pada pandangan orang bijaksana, Amylea paling berhak menjulang anugerah itu tetapi undian SMS tidak mengenal itu semua. Tidak mustahil sekali lagi Mawi menjadi pilihan. Entahlah! tepuk dada tanya selera.
Guru Nada Suara AF3, Siti Hajar Ismail, sempat berkongsi rasa dengan Harian Metro mengenai prestasi empat pelajar itu menjelang konsert terakhir mereka malam ini.
Katanya, dia masih tidak berpuas hati kerana mereka gagal menguasai teknik vokal yang diajarnya. Mereka tidak melakukan eksperimen mencukupi.
“Nada suara tinggi mereka tidak sampai menyebabkan mereka menyanyi serak. Kita mahukan pelajar yang mempunyai IQ tinggi dan agresif. Yang ada sekarang setakat OK saja.
“Semalam adalah hari terakhir saya mengajar mereka tetapi terasa penat lelah saya tidak berbaloi. Saya tanya mereka tengok AF1 dan 2 untuk apa, mereka tak tahu.
“Mawi selalu kata dia tiada masalah dengan saya. Semua orang tahu dia bercakap menggunakan suara dari kerongkong dan dia pun menyanyi menggunakan suara dari situ juga (kerongkong).
“Mereka semua berbakat tetapi tidak mahu berusaha lebih kerana tahu menang atau tidak mereka tetap terkenal. Perasaan seperti itu boleh membunuh bakat mereka sendiri,” kata Siti Hajar.
Tambahnya, sukar hendak mengukur kualiti seseorang artis kerana tiada satu aturan atau disiplin tertentu. Oleh kerana itu susah masyarakat hendak membezakan antara kualiti dan populariti.
“Menceburi dunia hiburan kena ada matlamat bukan semata-mata menganggap ia jalan mudah untuk mencari duit. Saya bimbang pelajar AF yang tiba-tiba menjadi insan popular perasaan mereka mudah terbuai.
“Kepada penonton, sokonglah pelajar itu kerana bakat bukan melihat kepada perkara lain. Jangan jadi seperti kata pepatah, sokongan membawa rebah iaitu sokongan yang mendatangkan keburukan kepadanya suatu hari nanti.
“Saya seru semua golongan termasuk media bekerjasama demi meningkatkan mutu industri hiburan,” katanya lagi.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Saturday/Bintang/20050806103329/Article/indexm_html