|
Akademi
Fantasia Membazirkan Emosi
Dipetik dari berita minggu, Ahad 11 Julai 2004 - IZZAMAN
TV
realiti adalah antara istilah baru yang kini digunakan secara meluas
hingga ada kalanya tidak menepati keperluan dan maksudnya. Malah
banyak juga yang masih kabur dengan istilah TV realiti. Timbul pula
pertanyaan adakah yang disiarkan di televisyen selama ini bukan
realiti?
Sebenarnya
yang menjadi penanda tercetusnya konsep televisyen realiti adalah
program Survivor yang merakamkan secara langsung kehidupan peserta
program ini. Maknanya setiap gerak-geri mereka dirakamkan dan peserta
pula berada dalam keadaan realiti iaitu tidak berlakon atau gerak-geri
mereka didramatikkan.
Tarikan
kepada penonton ialah mereka berpeluang melihat rakaman yang sebenarnya
kerana barangkali mereka telah muak atau bosan dengan rakaman yang
dilakonkan. Atau setidak-tidaknya diprogramkan supaya jadi begitu
dan tidak boleh jadi begini.
Malah
penonton juga boleh menyaksikan reaksi langsung daripada manusia
yang dirakamkan visual mereka. Ia sama dengan kita melihat realiti
yang berlaku di sekeliling kita setiap hari.
Di
negara ini antara yang bercirikan TV realiti ialah program Akademi
Fantasia. Kini ada pula program Audition yang cuba menjuruskan kepada
rakaman realiti. Apabila wujud satu gaya program yang meminjam istilah
TV realiti, cabaran penonton menjadi lebih besar daripada menonton
program biasa.
Penonton
wajar sedar kepada hakikat bahawa TV realiti atau bermirip TV realiti
akan memanipulasikan emosi mereka. Kerana itu mereka jangan sama
sekali memberi ruang kepada program yang ditonton untuk memerangkap
emosi dan ikut hanyut dalam program itu.
Tetapi
sebahagian besar penonton tempatan belum mampu memboloskan diri
daripada diperangkap oleh emosi yang dibuat-buat dalam program Akademi
Fantasia terbitan Astro. Kalau dilihat konsep TV realiti, Akademi
Fantasia hanya mirip tetapi bukan TV realiti. Tetapi tidak kisahlah
dengan istilah apa saja yang digunakan untuk merujuk Akademi Fantasia.
Adakah
sudah cukup memaparkan realiti kalau sekadar rakaman dalam dewan
latihan dan di ruang tamu kediaman? Malah pasti ada yang tertanya-tanya
juga apakah reaksi dan aksi semasa peserta terkeluar daripada program
ini satu realiti hingga macam berpisah hendak ke medan perang?
Penonton
Akademi Fantasia ternyata telah terbius sekali gus terperangkap
dalam untaian emosi ini. Mereka turut bersedih dan menangis melihat
paparan yang begitu melodrama di atas pentas. Dari segi penerbitan
Astro berjaya menjadikan Akademi Fantasia sebagai mania atau digilakan
kerana emosi ini.
Tetapi
di segi penonton, mereka tidak wajar membiarkan atau membazirkan
emosi dengan dimanipulasikan oleh kesedihan yang tidak asli di kaca
televisyen. Penonton wajar melihat aksi sedih ini dalam konteks
yang luas dan waras bahawa semua pertandingan akan menyingkirkan
banyak orang dan menjulang hanya seorang pemenang.
Kerana
kegagalan membendung emosi maka Akademi Fantasia musim pertama menjadi
program yang paling berpengaruh. Adakah ia berpengaruh kerana melahirkan
peserta yang berkualiti atau kerana emosi? Akademi Fantasia hanya
melahirkan bintang yang popular disebabkan faktor-faktor emosi yang
mempengaruhi penonton membuat undian menerusi SMS.
Pertandingan
yang disiarkan di televisyen bukanlah suatu yang luar biasa. Penonton
wajar menerima hakikat ini sebelum mereka membazirkan emosi untuk
bersedih tidak tahu hujung pangkal dengan tersingkirnya peserta
Akademi Fantasia.
Apa
bezanya Bintang RTM yang sudah berpuluh kali diadakan dan sudah
berpuluh peserta pula yang disingkir di peringkat akhir di kaca
televisyen? Begitu juga dengan Juara Lagu yang telah banyak menyingkirkan
calon komposer di peringkat akhir. Kenapa tidak ada yang menangis
meraung macam mereka menonton Akademi Fantasia?
Jawapannya
kerana hanya Akademi Fantasia saja yang memanipulasikan emosi penonton
dengan merakamkan ``gaya menangis di atas pentas''. Banyak yang
tertanya-tanya adakah tangisan ini asli atau diminta beraksi demikian
dan dirakamkan untuk disuap kepada penonton?
Kalau
benarlah peserta ini menangis sampai lupa dunia, konsep latihan
dan mengurung peserta selama tiga bulan itu gagal melahirkan manusia
yang kental. Baru tewas sudah menangis dan rakan-rakan pula tumpang
menangis hanya kerana rakan mereka tersingkir. Di mana kekuatan
mental dan ketahanan emosi mereka?
Astro
wajar membendung emosi peserta di atas pentas supaya emosi ini tidak
terbaur kepada penonton dalam dewan dan di depan televisyen. Persoalannya
adakah Astro memang menggalakkan ledakan emosi ini dan menyiarkan
kepada penonton? Adakah ini sudah dianggap TV realiti?
Apa
pula pendapat anda? Bincang tentang artikel ini di forum
<<
Back To Main News Page
|